Saturday, November 6, 2010

Strok, serangan jantung sebab utama kematian



Oleh HAFIZAH ISZAHANID


ATHEROTHROMBOSIS, satu perkataan yang agak sukar disebut, tetapi ia menjelaskan mengenai masalah kesihatan yang boleh membawa kematian. Hampir 12 juta penduduk dunia meninggal dunia setiap tahun disebabkan penyakit berkaitan atherothrombosis termasuk strok,

penyakit jantung dan PAD (peripheral arterial disease).Atherothrombosis terjadi apabila darah beku terbentuk pada lebihan lemak di dinding saluran darah. Pembentukannya dinamakan thrombosis dan lebihan lemak di saluran darah dirujuk sebagai atheroma.

Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Madya Dr Haizal Haron Kamar, berkata Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) Geneva pada 2002 melaporkan kematian disebabkan atherothrombosis mendahului sebab-sebab kematian lain.

Malah, katanya ia 28 peratus di hadapan barah, penyakit berkaitan jangkitan dan kedudukan itu semakin kukuh pula saban tahun.

Penyakit jantung menjadi penyebab utama kematian di Malaysia dan angka itu



meningkat tahun demi tahun. Sebagai contoh, kebanyakan orang tidak tahu atherothrombosis menjadi sebab utama kematian dan masalah kesihatan.

Untuk mendapatkan pesakit dan doktor berbincang secara aktif mengenai masalah penyakit itu agak susah walaupun menerusi perbincangan membolehkan pesakit lebih memahami situasi mereka dan doktor lebih mengetahui masalah pesakit dengan mendalam, katanya.

Disebabkan masalah itu dan ditambah pula dengan senario atherothrombosis di Malaysia, Unit Kardiologi PPUM mengadakan khidmat masyarakat untuk memberi kesedaran kepada orang ramai. Perlu disedari, mengetahui dan memahami atherothrombosis memberi peluang kepada pencegahan dan rawatan terbaik kepada pesakit.

Atherothrombosis sebenarnya perkembangan yang sangat bahaya kerana jika gumpalan darah (blood clot) yang terjadi itu berkembang hingga menyekat saluran arteri yang terbabit, darah akan berhenti mengalir. Keadaan itu menyebabkan tisu di bahagian bawah arteri yang tersekat berisiko yang kadangkala membawa kepada risiko berbentuk ancaman seumur hidup.

Jika atherothrombosis terjadi tetapi aliran darah dalam arteri atau arteri yang berdekatan mencukupi, tisu yang terbabit masih berupaya menerima jumlah oksigen dan nutrisi. Tetapi jika sebaliknya, keperluan tisu terhadap oksigen dan nutrisi tidak dipenuhi. Ia memungkinkan terjadinya 'kematian tisu' jika darah langsung tidak mengalir melalui arteri.

Kadang kala, selain menyekat arteri, gumpalan darah itu mungkin akan terpecah dari 'lesion' (perubahan yang bahaya pada tubuh yang disebabkan penyakit) dan menjadi embolus (penyekatan saraf darah oleh ketulan darah beku).

Strok dan atherothrombosis

Strok adalah sejenis penyakit jantung. Ia memberi kesan kepada arteri yang menuju dan yang berada di dalam otak. Sebab itu strok juga disebut sebagai serangan otak. Strok terjadi apabila salur darah yang membawa oksigen dan nutrisi ke otak tersekat kerana gumpalan darah. Apabila ia terjadi sebahagian otak tidak memperoleh darah dan oksigen yang diperlukan dan perlahan-lahan ia akan mati.

WHO dalam laporan 2003 mengatakan strok adalah penyebab kedua kematian di kalangan dewasa. Dianggarkan jumlah kematian disebabkan strok akan bertambah menjelang tahun 2020 seiring dengan pertambahan jumlah warga emas. Angka ini dijangka lebih menakutkan jika dilihat di negara-negara membangun.

Di Malaysia, maklumat terperinci mengenai strok sangat terhad. Begitupun kata

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Dr Mohd Ismail Merican ketika melancarkan Garis Panduan Amalan Klinikal bagi pengurusan Strok Iskemia di Simposium Persatuan Neurologi ASEAN 2006, strok berada dalam kedudukan ketiga penyebab kematian utama di Malaysia.

Strok adalah punca kematian ketiga paling tinggi di Malaysia pada tahun 1990-an. Pada 2002, ia direkodkan sebagai punca kematian keempat paling tinggi.

Walaupun ada perubahan tetapi masih ada ruang untuk pembaikan. Oleh itu, Garis Panduan Amalan Klinikal bukan sahaja penting untuk doktor tetapi juga semua rakyat Malaysia, kerana ia menawarkan pilihan rawatan dan strategi pengurusan terbaik bagi pesakit strok, katanya.

Garis Panduan Amalan Klinikal bagi pengurusan Strok Iskemia dianggap penting bagi semua pakar perubatan profesional yang merawat pesakit strok kerana ia boleh dijadikan kayu pengukur yang jelas dan objektif untuk mereka mengukur manfaat rawatan dan memperbaiki kesejahteraan pesakit.

Garis Panduan Amalan Klinikal juga membantu pakar perubatan profesional memberi kaunseling kepada pesakit di bawah jagaan mereka mengenai pentingnya usaha mencegah strok.

Apa yang boleh anda lakukan ?

Ubah gaya hidup - berhenti merokok dan perbaiki diet. Dua langkah ini berupaya mencegah atau mengurangkan risiko pada kemunculan serangan berkaitan atherothrombosis (serangan jantung atau strok). Rawatan dalam bentuk pengambilan ubat-ubatan juga diperlukan dalam kebanyakan kes, terutama pada mereka yang pernah diserang sakit jantung atau strok.

Matlamat utama rawatan berkaitan atherothrombosis adalah mencegah pembentukan darah beku. Selalunya doktor akan memberi ubat anti platelets untuk mengurangkan kemungkinan tubuh membentuk darah beku lagi. Terapi anti platelet mencegah platelet dari melekat dalam salur darah, ini membantu memudahkan aliran darah, mencegah risiko serangan jantung atau strok pada masa hadapan.

Petikan: Mingguan Malaysia
20 Ogos 2006

No comments:

Izinkan Kami Hubungi Anda


Your Name
Your Email Address
Impian Kewangan
Image Verification
captcha
Please enter the text from the image:
[ Refresh Image ] [ What's This? ]
   

Powered byEMF Email Form